Saturday, 19 April 2014

Cerianya Kamar Anak Membentuk Anak Lebih Kreatif

Teks : Pn Aidahapini Derum

Anak kecil lebih cepat memberi tindak balas tentang pengalaman melalui visual. Fakta ini dapat kita guna pakai untuk menghias kamar tidur anak. Apa salahnya kita jadikan fakta ini sebagai idea kreatif untuk menyampaikan arahan rutin kepada anak-anak.




Contohnya gambar kartun solat dan bacaan doa harian boleh kita buat sendiri dan tampalkan di dinding bilik tidur anak. Kadang-kadang kalau kita mengingatkan anak secara lisan kita dianggap membebel. Peringatan secara visual ini adalah lebih berkesan terutama kepada anak yang berumar 2 hingga 6 tahun.


Jadual Harian anak juga boleh dibuat dalam bentuk visual supaya anak lebih ingat. Ia boleh dipraktikkan untuk anak sekolah rendah. Jadikan idea kreatif ini untuk jadual waktu belajar.




"Art Corner" di kamar tidur anak dijadikan sudut untuk mempamerkan hasil coretan tangan mereka. Cara ini dapat menimbulkan perasaan bangga pada diri anak serta mereka akan rasa dihargai oleh ibubapa. Hasilnya anak akan menjadikan diri anak berkeyakinan untuk menghasilkan sesuatu serta menjadikan mereka lebih kreatif.

Wednesday, 16 April 2014

Pelukan Ibu

Teks:Pn Aidahapini

 Pelukan Ibu satu pelukan keramat untuk anak-anak. Sukar untuk digambarkan bertapa bernilainya pelukan ibu. Bila bayi menangis si ibu memeluk anaknya, tangisan akan berhenti. Tapi kenapa bila anak meningkat remaja ibu jarang memeluk anak? Cuba tanya diri kita berapa kerap kita memeluk anak remaja kita.

 Pernah saya melihat kejadian dimana seorang remaja  bergaduh dikhalayak ramai tapi ayah cuba meleraikan tapi tidak berkesan. Apabila ibu remaja tersebut datang lalu memeluk anaknya. Anak yang berang menjadi lemah lalu memeluk ibu sambil menangis. Ya!Allah bertapa saya terusik dengan situasi itu. 

 Saya ingin menyeru kepada kaum ibu peluklah anakmu tidak kira berapa usianya kerana pelukan mu itu ubat kepada anak mu. Kalau anak kita kadang sukar dibentuk dengan kata-kata tapi mungkin dengan memeluknya sambil berkata boleh melembutkan hatinya, insyallah!!

Pergilah...


Teks:Pn Aidahapini

Pergilah air mata usah dikenang yang sudah berlaku hari ini,
Pergilah wahai duka usah diingat yang sudah menguris hati hari ini,
Pergilah wahai kekesalan usah diingat perkara yang terjadi hari ini,
Pergilah segalanya usah dikenang agar hari ini jadi pengajaran, supaya esok lebih bererti.
Pejamlah mata kerana esok menanti mu.


Saturday, 12 April 2014

PETUA KULIT HALUS LAGI MULUS

Cara mudah dan murah sahaja untuk diamalkan.


  • Sediakan dua sudu makan madu

  • Kemudian gunakan tangan untuk meratakan madu tadi ke seluruh muka

  • Biarkan kering

  • Kemudian bilas dengan air bersih

  • Amalkan setiap hari sebelum tidur, anda akan rasakan muka tegang dan lebih licin.

  • Untuk dalaman pula ambil satu madu dan campurkan dengan segelas air masak, minum sebelum tidur.
Selamat Mencuba!!! Semoga anda memperolehi wajah cantik berseri-seri!

DEDIKASI

Teks: Pn Aidahapini

Assalamualaikum,

DENGAN NAMA ALLAH YANG MAHA PENGASIH.....
Sejuta limpahan syukur pada-Nya. Dengan limpah rahmat-Nya, yang telah memberikan rezeki tidak berhenti-henti. Ucapan terima kasih juga buat Pn Aishah guru online saya yang telah banyak memberi bimbingan kepada saya dalam kelas online tanpa mengiira masa.

Menyertai Akademi Berkerja di Rumah telah memberi satu suntikan semangat baru kepada saya . Alhamdullilah syukur kepada-Nya kerana telah mempertemukan diri ini serta memberi ruang untuk bersama menyertai Akademi Berkerja Di Rumah walaupun masa amat mencemburui saya untuk betul-betul fokus.

Minggu lepas, saya mendiamkan diri selama seminggu kerana ingin mencuba butik online yang baru dibuka. Dengan berbekalkan ilmu yang diperolehi daripada kelas online, saya berjaya memperoleh pendapatan RM278 hanya dalam seminggu. Satu permulaan yang cukup memuaskan hati saya memandangkan ia hanya sekadar mengisi sedikit masa yang terluang di rumah. Bila melihat hasilnya ia menjadikan satu kekuatan pada diri ini untuk terus maju.

Saya bermula daripada "zero" tentang selok-belok perniagaan online serta penulisan blog tetapi telah dapat impaknya. Ucapan tidak terhingga buat warga Akademi Berkerja Di Rumah kerana telah merealisasikan impian ini.


Wednesday, 9 April 2014

'Kulintangan'

Alat muzik suku kaum Brunei di Sabah dipanggil 'Kulintangan', sedap iramanya kalau dimainkan terutama masa kenduri kahwin. Ada lima jenis alat muzik yang berlain irama bunyi tapi akan akan dipalu serentak untuk menghasilkan sebuah lagu. Penghasilan irama lagu ini bergantung dengan pemain alat muzik yang mengalunkannya. Sedap didengar alunan muzik tradisional ini, unik sekali. Begitu juga dengan ragam anak-anak yang berbagai kerenah. Jika kita bentuk anak dengan baik ia akan menghasilkan satu keluarga yang harmoni. Ibubapa sama macam pemain yang memalu alat muzik itu. Kalau ibubapa pandai memainkan peranan baru dapat menghasilkan irama muzik yang merdu begitu juga halnya dalam membentuk anak-anak. Jangan risau kalau anak kita berbagai kerenah tangani dengan bijak hasilnya pasti menarik. Esok dihari tua pasti teringat ragam anak-anak yang akan membuatkan anda tersenyum sendiri.

Lain dulu, lain sekarang

Zaman kanak-kanak kalau ikut emak kenduri kahwin mesti kena duduk tertib kalau tidak paha ini kena cubit oleh emak. Kalau pergi bertandang rumah orang lain pun kita tidak dibenarkan bermain-main. Kalau tidak emak akan cubit paha lagi. Bila orang tua bercakap tidak boleh menyampuk. Bercakap dengan orang tidak boleh meninggikan suara.  Banyak sangat pantang larangnya zaman kanak-kanak. Masa tu memang kita rasa bosan tapi kalau difikir balik apa yang emak kita buat ada sebabnya. Bila saya fikir balik, peraturan itulah yang membentuk kita hari ini. Keadaan itu telah menjadikan kita hormat kepada orang tua dan cara percakapan dengan orang. Membentuk kita berdisiplin. Zaman sekarang amat sukar untuk sesetengah ibubapa berbuat demikian kerana generasi sekarang lebih suka bebas dan mudah tertekan dengan peraturan. Oleh itu, kebanyakkan ibubapa menggunakan pendekatan bertolak ansur. Mungkin generasi saya patuh dan menurut. Tapi apa yang dialami anak-anak generasi sekarang berani menyuarakan hak mereka. Mendidik anak sebagai kawan itu adalah pendekatan yang terbaik.

Tuesday, 8 April 2014

Tip Cantik Sebelum Tidur

Seharian menguruskan rumahtangga pasti menyebabkan kita letih. Jangan biarkan kesibukkan ini jadi satu alasan untuk tidak menjaga kecantikkan diri.
Tip mudah sebelum tidur:


  • Bersihkan muka dengan susu pembersih dengan menggunakan kapas. Sekiranya tiada susu pembersih boleh gunakan 'baby lotion'. Buat urutan lembut.
  • Kemudian bersihkan wajah dengan air
  • Bersihkan muka dengan pemcuci muka dan seterusnya bersihkan dengan air
  • Sapukan penyegar ke muka dengan menggunakan kapas
  • Akhir sekali sapukan krim malam. Sekiranya anda menggunakan serum letakkan serum dahulu kemudian krim malam.

Monday, 7 April 2014

Bahagiakan Orang Tua Mu

Beberapa hari blog ini agak sepi, tiada catatan yang tertera. Bukan niat untuk menyepi tapi kedaan tidak mengizinkan. Hanya tiga hari sangat cepat rasanya berada di kampung. Walaupun hanya tiga hari tapi cukup bermakna, banyak perkara dapat diselesaikan, Alhamdullilah, syukur kepada Allah kerana memudahkan semua urusan. Banyak perubahan berlaku, agak sunyi juga keadaan kampung tika itu, selalunya balik Hari Raya agak meriah suasana kampung. Mungkin ramai penghuni sudah berhijrah ke bandar, anak yang berkerja di bandar ada yang membawa ibubapa sekali ke bandar. Alhamdullilah, ada anak-anak yang mengenang jasa ibubapa. Tapi tidak kurangnya juga ada rumah yang hanya dihuni oleh warga emas lelaki yang duduk seorang diri dan hanya mengharapkan kepulangan anak-anak. Peringatan untuk diri luangkan masa bersama ibubapa selagi mereka bernafas di bumi ini. Jangan dikira masa yang kita ada, luangkan masa walaupun hanya 5 minit sehari ditalian sudah mencukupi untuk mereka. Andainya terlalu sibuk sekurang-kurangnya pulanglah walau hanya sesaat. Bahagikanlah orang tua mu kerana ia adalah pintu kejayaan mu di dunia dan akhirat.

                                                                                                            Pulanglah wahai anak ke rumah di mana kau dibesarkan kerana ada warga yang menanti kepulangan mu!

Ibu Sistematik Lahir Anak Bijak

Teks : Pn Aidahapini

Kepada suri rumah cuba bantu anak anda menangani masalah untuk memilih mata pelajaran yang perlu diulangkaji. Kadang-kadang anak-anak tidak tahu dalam menguruskan masa dan pilihan matapejaran yang ingin diulangkaji di rumah, situasi ini menjadikan ulangkaji yang kurung berkesan.  Perkongsian hari ini, bantu anak anda menangani masalah untuk memilih mata pelajaran yang perlu diulangkaji.

  • Minta jadual sekolah anak anda
  • Susun jadual ulangkaji mengikut matapelajaran yang diajar pada hari tersebut
  • Susun jadual isnin hingga Jumaat. Kebiasaannya apa yang saya lakukan, hari sabtu anak-anak akan berehat dan tiada ulangkaji. Masa ini anak-anak dibenarkan menonton ataupun melakukan aktiviti lain. Hari ahad adalah persediaan untuk menghadapi minggu yang baru. Contohnya, mengemas pakaian sekolah, alat-alat sekolah, buku-buku dan sebelah malam membuat sedikit persiapan ulangkaji untuk minggu tersebut.
  • Agihkan masa sebelah petang untuk mengemas kini nota dan menyiapkan semua kerja rumah yang diberikan oleh guru.
  • Sebelah malam adalah masa untuk mengulangkaji dan membuat sedikit latihan sahaja. Jika ada masa imbas sedikit matapelajaran untuk persediaan esok.



Thursday, 3 April 2014

Hanya Nasi Goreng

Kadang-Kadang muncul perasaan malas untuk memasak, suri rumah jangan risau dengan perasaan ini.Cuba kita jadikan sebagai satu cara untuk mengajar anak bersyukur serta menghargai. Bagaimana?Mudah saja kalau malas memasak jangan beli makanan luar hari itu. Anda cuma perlu memasak nasi goreng ringkas sahaja. Menu pada waktu itu hanya nasi goreng sahaja. Zaman ini anak-anak dibesarkan dalam suasana yang serba lengkap, ada masa kita perlu mengajar anak hidup serba kekurangan. Jika selama ini anak kita dihidangkan lebih dari dua jenis menu, sekurang-kurang hari itu mereka dapat merasai makan hanya sekadar untuk mengisi perut yang kosong. Kalau ditanya kenapa cuba beri penerangan kepada anak kenapa anda berbuat demikian. Kalau mereka telah biasa dengan keadaan ini, insyallah anak-anak akan lebih menghargai nikmat hidup.

KAMAR ROMANTIK



Setiap wanita semestinya akan membuat yang terbaik untuk pasangannya, dekorasi kamar juga memainkan peranan untuk mewujudkan suasana romatik. Namun ada kalanya si isteri membuat dekorasi yang kurang menarik. Akhirnya kamar yang dicipta ini tidak dapat dihayati bersama-sama. Jadi apakah yang harus dillakukan untuk mencipta ilham kamar romatik ini?

         Di sini saya akan berkongsi tip mencipta Kamar Romantik:

  • Pilihan warna seperti pastel dan putih adalah pilihan yang natural. Manakala untuk yang menginginkan suasana klasik boleh pilih warna lemon, lilac ataupun hijau lembut. Jangan pilih warna nampar feminin kerana lelaki tidak begitu gemar dengan warna tersebut.
  • Untuk mendapatkan mood romantik, mentol yang bercahaya kuning suram ataupun boleh juga menggunakan lilin.
  • Gunakan fabrik cadar daripada kapas ataupun sutera.
  • Letak bingkai gambar yang memaparkan saat-saat romatik anak berdua, contohnya gambar pernikahan. Letakkan disisi katil supaya pasangan dapat menghayati detik-detik romantik yang pernah anda lalui bersama.
  • Bau-bauan atau aromaterapi penting untuk mencipta ketenangan. 
  • Bunga segar bagi melengkapkan suasana yang romantik anda bersama pasangan. Gunakan pasu yang ringkas sahaja. 
  • Akhir sekali, alunan muzik yang romantik juga boleh mencipta suasana romatik di kamar beradu anda.




            "Selamat Mencuba"


Wednesday, 2 April 2014

Hati Seorang Ibu

Teks: Pn Aidahapini

Hari ini sibuk dengan ragam anak, sebentar tadi terkejut dengan panggilan telefon daripada anak yang tinggal di asrama pukul 11 malam. Sebak rasanya mendengar suara "ibu bagi kata-kata semangat, kakak dah nak exam ni. Penat banyak kerja nak buat." Apa yang mampu dibekalkan hanya secebis kata pendorong," wahai anak ku ! jangan biarkan keletihan yang dialami menjadi bahan bicara kerana takut ia akan jadi penghalang bagi meraih kejayaan, biar letih sekarang jangan letih kemudian hari kerana tidak berjaya" "Terima Kasih, ibu", suara ada sedikit nada semangat. Anak yang jauh dimata amat berat untuk seeorang ibu apatah lagi anak perempuan. Tapi pernah seorang teman berpesan kalau anak tiada depan mata berdoalah kepada Allah S.W.T , Ya Allah peliharalah dan didiklah anakku, Amin. 

Saya selalu perhatikan, bila tiba musim peperiksaan umum ibubapa sanggup minta cuti. Aktiviti hari itu menunggu anak di kantin sekolah sehingga selesai anak menduduki kertas peperiksaan, sebagai tanda dorongan untuk anak. Saya sungguh kagum dengan golongan ini, saya sendiri tidak mampu berbuat demikian. Tapi bila keputusan keluar anak-anak daripada kalangan ini menunjukkan prestasi cemerlang dan kadang-kadang diluar jangkaan. Kesimpulannya "Jangan biarkan perjalanan hidup anak-anak sunyi tanpa doa dan bisikkan semangat dari insan bergelar ibu". Tidak kira anak kita bijak ataupun kurang bijak, jangan biarkan mereka sendirian. 

"Wahai ibu tersenyumlah jika ingin melihat anakmu tersenyum kepadamu"



Tuesday, 1 April 2014

"Kisah Sepasang Baju"

Teks: Pn Aidahapini

DENGAN NAMA ALLAH YANG MAHA PENGASIH.......
Sejuta limpahan syukur pada-Nya. Dengan limpah dan rahmat-Nya, kita masih bernafas di bumi Allah ini. 

Bila teringat detik-detik yang sukar yang pernah dilalui menjadikan kita bersyukur dan lebih menghargai apa yang sedang kita lalui sekarang......

Dalam perjalanan pulang dari kedai jahit mengambil beberapa pasang baju kurung yang telah siap ditempah untuk anak-anak. Teringat pula zaman kanak-kanak dahulu. Apabila meningkat dewasa ini, pakaian secantik manapun tidak sama perasaan teruja ketika zaman kanak-kanak. Mana tidaknya ketika itu emak hanya mampu menempah baju setahun sepasang baju kurung untuk Hari Raya,  itu pun kalau tahun tu ada rezeki yang lebih. Kalau tidak jawapnya beraya dengan baju lama pemberian saudara mara yang dah senang sikit pada masa itu. Pada suatu hari, ada menerima pemberian sepasang baju daripada kawan emak, saiz baju tersebut agak besar, emak mengubahsuai baju tersebut supaya baju  muat dengan saiz badan saya....cantik juga akhirnya. Saya memakai baju kurung tersebut ketika kenduri kahwin jiran. Anak kepada kawan emak asyik menjeling dan berbisik-bisik dengan rakan yang lain. Saya kurang selesa dengan situasi itu, saya cuba berfikir positif. Tapi apa yang membuat saya sedih sangat, selepas kenduri tersebut anak kepada kawan ibu, meminta balik baju tersebut, sedihnya....dia mengungkit dan mengutuk saya. Saya bagi balik baju tersebut sambil menangis dan berkata dalam hati suatu hari nanti kalau saya berjaya saya akan beli baju cantik dan akan ada satu almari khas untuk koleksi baju sahaja. Saya tidak berdendam kepada sesiapa tapi saya jadikan peristiwa itu sebagai satu semangat untuk belajar bersungguh-sungguh pada masa itu. Alhamdullilah saya bersyukur apa yang saya miliki hari ini. 

Saya selalu berpesan kepada anak-anak supaya:
  • jangan menghina orang kurang bernasib baik daripada kita
  • bersedekah, menderma serta menghulurkan bantuan kepada mereka yang memerlukan
  • sentiasa maafkan orang lain, agar kita sentiasa tenang
  • jadikan semua yang berlaku sebagai satu cabaran untuk berjaya
  • sentiasa bersyukur dengan apa jua yang kita miliki hari ini
  • jangan sesekali bersifat angkuh dan sombong kerana apa yang kita miliki hanya sementara






Monday, 31 March 2014


Teks : Pn Aidahapini

Bila Ibu Menjadi Guru

Ibu merupakan guru yang baik untuk anak-anak semasa di rumah. Walaupun sibuk dengan tugas-tugas rutin sebagai suri rumah ataupun kerjaya, jangan sekali kita abaikan tugas mendidik anak. Suka saya mengingatkan diri ini supaya meletakkan tugas mendidik anak sebagai tugasan yang teratas sekali. Di laman ini saya ingin berkongsi dengan rakan-rakan pengalaman seorang ibu yang berjaya menjadi guru kepada anak di rumah. Saya pernah bertanya seorang ibu kepada pelajar saya semasa Hari Anugerah Cemerlang Sekolah, bagaimana dia mendidik tiga orang anak beliau cemerlang dalam akedamik dan sahsiah. Dua orang anaknya telah berjaya melanjutkan pelajaran dalam bidang perubatan di luar negara. Anak yang ke -3 berada di tingkatan 5. Ibu tersebut berkata dia bukan ada pendidikan yang tinggi cuma ada SPM sahaja cukup untuk beliau menjadi guru di rumah kepada anak-anaknya. Apa yang ibu tersebut lakukan :

  1. Dia menyediakan jadual waktu belajar kepada anak-anak.
  2. Hanya memestikan anak-anak membuat kerja rumah yang diberikan oleh guru.
  3. Selepas habis membuat kerja rumah, setiap hari anaknya hanya akan mengulangkaji pelajaran 30 minit setiap hari wajib. sekiranya anak rela hati untuk meneruskan masa untuk belajar teruskanlah tiada paksaan untuk tambahan masa ini. Saya bertanya "cukup ke masa 30 minit tersebut?"  Katanya "jangan bimbang belajar hanya sedikit masa sahaja, tetapi setiap hari. Sikit-sikit lama-lama jadi bukit." Katanya lagi tak guna belajar lama kalau dalam keadaan terpaksa. Otak tidak dapat memproses apa yang dipelajari. Akhirnya anak-anak akan memerontak.
  4. Meminta anak menyediakan nota dalam bentuk peta minda selepas membaca satu tajuk kecil sudah mencukupi.
  5. Dia akan meminta anaknya menjawab soalan topikal berkaitan tajuk yang dibaca oleh anaknya. Ia bertujuan untuk menguji tahap pemahaman. Beliau akan menyemak sendiri latihan tersebut berdasarkan skema jawapan yang ada. 
  6. Sekiranya ada kemusykilan beliau meminta anaknya bertanya kepada guru.
  7. Menyediakan senarai semak tahap pemahaman anak dalam bentuk jadual mengikut tajuk-tajuk kecil.
  8. Daripada senarai semak tersebut beliau dapat membuat penilaian tentang prestasi anak dan mencari penyelesaian bukan memarahi anak tersebut.
  9. Sentiasa memestikan anak dalam kawalan tetapi mereka selesa kerana beliau berkata dia dan anak-anaknya adalah kawan yang saling menghormati antara satu dengan lain. Situasi ini sudah diterapkan sejak anak masih kecil lagi katanya.
  10. Mengwujudkan suasana belajar untuk anak-anak. Saya bertanya bagaimana caranya. Beliau menjawab tiada bunyi televisyen semasa belajar. 
Walaupun mungkin tip ini agak biasa saja tapi anggaplah ini sebagai satu peringatan agar kita tidak membiarkan anak-anak di rumah tanpa mengawasan yang betul. Di rumah ibu selain menjadi kawan dan guru akademik, dalam masa yang sama ibu perlu bertindak sebagai guru disiplin untuk membentuk disipin anak. Di laman akan datang kita akan berkongsi cerita bila ibu menjadi guru disiplin kepada anak-anak.


"Kejayaan seorang suami kerana adanya isteri yang bijak dibelakangnya, Kejayaan seorang anak kerana adanya seorang ibu yang bijak"

Wasalam.....






Friday, 28 March 2014

Salam kasih penuh ukhwah.......

Teks: Aidahapini....

Salam manis dan salam perkenalan untuk semua dari saya Pn. Aidahapini dilahirkan di Negeri Di Bawah Bayu. Namun, takdir Allah akhirnya saya bertemu jodoh di Tanah Semenanjung dan kini menetap di Negeri Selangor. Ibu kepada 5 orang anak membuatkan setiap detik dilalui penuh dengan ragam anak-anak, itulah asam garam kehidupan seorang wanita bergelar ibu. Selain bergelar ibu saya juga seorang pendidik , menyebabkan hari-hari saya lalui dikelilingi oleh insan bergelar anak-anak. Saya suka mengingatkan diri agar menjaga amanah ini dengan sebaik-baiknya, bimbinglah mereka dengan keikhlasan bukan keterpaksaan.

Alhamdullilah.....Syukur ke hadrat ILAHI akhirnya hari ini berjaya juga memulakan penulisan blog. Dengan harapan di alam maya ini, kita boleh berkongsi cerita suka duka. Agak lama juga saya menyimpan hasrat ini kerana tiada ruang masa untuk memulakannya. Di mana ada kemahuan disitu ada jalan. Jutaan terima kasih kepada Pn. Aishah kerana sudi menjadi guru.


"Sesibuk manapun seorang wanita 
dia tak akan lupa orang yang disayangi"
"Mulakan hari ini dengan Bismillah, sertakan dengan sekumtum senyuma nindah"